Wednesday, November 18, 2009

Syukurilah Nikmat dan Kenalilah Nikmat

Sesetengah nikmat itu hanya datang sekali, tetapi bersyukur kena selalu.

Ada sepasang suami isteri yang hidup bahagia. Tidak ada
kurangnya bagi pasangan yang dilimpahi dengan kemewahan ini kecuali satu,
mereka tidak punya anak walaupun telah lama berumah tangga. Sering mereka
bercerita tentang betapa indahnya hidup sekiranya punya seorang anak
penyejuk mata. Rasa ini bergolak hebat apabila melihat kepada jiran
sekeliling yang sentiasa riuh rendah dengan bunyi hilai ketawa anak-anak,
kadang-kadang tangisan nyaring.

Apa yang menarik tentang pasangan Mr. & Mrs. Perfect ini:

Susun atur dalaman rumah mereka yang rapi, kekemasan sentiasa
pada tahap maksimum dan semua benda mesti berjalan seperti yang dirancang
dan dijadualkan. Rutin hidup mereka semuanya berjalan seperti dalam
catatan diari dalam kerapian tahap tinggi. Nota semakan kerja rumah
tergantung pada peti ais, pada white board pula senarai semakan
keberkesanan, perancangan pula dalam buku management tersendiri. Dengan
tekun semua ini diulang-ulang saban hari, minggu dan tahun.

Pada satu hari yang indah, si isteri bergegas memberitahu
jiran tetangga berita gembira yang dikongsi bersama dengan sambutan
syukur hampir seluruh kawasan kejiranan berhampiran. Menurut doktor, dia
bakal menimang cahaya mata. Kegembiraan jelas terpancar pada pasangan
ini, ucapan tahniah datang mencurah-curah.

Begitu pantas masa berlalu. Akhirnya sampailah saat yang
mendebarkan, anak yang ditunggu dilahirkan dengan selamat. Bayi lelaki
comel ini benar-benar memberi sinar pelengkap kasih sayang di dalam rumah
itu.

Tiga tahun berlalu, anak lelaki ini membesar dengan sihat dan
subur, sesubur perhatian dan belaian daripada ayah dan ibu. Namun berlaku
sesuatu yang tidak diduga oleh ibunya selama ini. Anak lelaki ini
mempunyai perangai yang seratus peratus berbeza dengan sikap ibunya.
Kalau ibunya sangat kemas, anak lelaki ini akan mengeromot segalanya.
Rumah yang selama ini kemas teratur sering kali bertukar wajah menjadi
seperti lepas perang, kena penangan anak ini. Keadaan tidak terkawal,
anak ini mungkin telah dimanjakan berlebihan.

Si ibu merintih derita. Apa yang berlaku ini bertentangan
sama sekali dengan kanun dirinya. Semua mesti sempurna! Sampai pada tahap
ini si ibu selalu terlanjur cakap bahawa mempunyai anak sebenarnya satu
kesilapan. Anak bukan penyejuk mata sebaliknya peragut ketenangan.


Bagi mendidik si anak, si ibu terpaksa menggunakan sedikit
kekerasan, cubit, rotan dan meminta dia berikrar untuk tidak
mengulanginya kembali.
"Mama, abang minta maaf ... Abang tak akan ulang lagi." Itulah
ungkapan yang diajar setiap kali kesalahan dibuat.
Satu lagi tabiat yang pelik bagi anak ini ialah dia akan
mengoyak kertas yang dijumpainya dan dibiarkan bersepah merata-rata.
Cubitan dan kemarahan tidak berjaya mengubah tingkah lakunya, dia masih
dengan tabiat menyepah-nyepah, kemudian rumah jadi bingit dengan leteran
dan bahang kemarahan ibu. Begitulah yang sering berlaku.
Pada suatu hari si ibu bergegas mengemaskan rumah kerana
kawan lamanya bakal datang melawat. Dia ke dapur memasak hidangan kepada
tetamu yang bakal datang.
Bila dia membawa makanan untuk dihidangkan, alangkah
terkejutnya apabila dia melihat ruang tamu bersepah, sofa tunggang
langgang dan koyakan kertas bertabur di mana-mana.
"Abang ... mari sini!!" Jerit si ibu memanggil anaknya lebih
kuat daripada biasa. Kemarahannya mencecah siling kesabaran dan membakar
rentung ladang hemahnya.
Si anak ketakutan lalu lari meluru ke arah pintu. Si ibu
mengejar dari belakang. Nafasnya tertahan-tahan menahan marah.. Kaki anak
melangkah keluar dari rumahdengan larian deras. Sesaat dia telah berada
di hadapan pagar.
Tiba-tiba terdengar satu bunyi hentaman keras. Larian ibu
terhenti. Wajah terasa basah terpercik sesuatu. Dia terpaku ... Alangkah
terkejutnya apabila melihat anaknya menggelupur kesakitan berhampiran
longkang besar di tepi rumahnya. Basah di muka tadi rupanya adalah darah
anaknya.
Dia tidak mempedulikan lagi pada kereta yang melanggar, dia
meluru mendapatkan anak dan merangkulnya. Darah merah ada di mana-mana,
dada anak berombak-ombak, tubuh kekejangan, terdengar bunyi rengekan
menahan sembilu kesakitan yang amat. Tanpa berlengah dia terus memandu
keretanya, anak diletakkan ke atas ribanya, tubuhnya kini dibasahi darah
merah segar anaknya, dia terus memecut laju ke hospital.
"Ya Allah ... tolonglah selamatkan anakku ini." Doanya dalam
raungan kuat sambil memandu laju. Hon dibunyikan bertalu-talu minta
laluan daripada pemandu lain.

"Ya Allah ... aku tahu aku gagal menjadi seorang ibu yang baik
tetapi aku memohon sekali ini ... Ya Allah selamatkanlah anakku ini."

Air matanya bercucuran dengan deras menitis, tumpah dan
bergaul dengan darah merah anaknya. Perjalanan terasa begitu jauh dalam
keadaan begini. Nafas anak tercungap-cungap. Dari mulut, hidung juga
telinga darah terus mengalir begitu deras. Si anak bergelut dengan
kesakitan, dada berombak kuat, setiap kali dia membuka mulutnya darah
bercucuran keluar.

Anak seperti ingin menuturkan sesuatu, ibu menangis
semahunya.

"Mama maafkan abang ..." Ungkapannya sukar ... tersekat-sekat
kerana kesakitan itu.

"... Abang janji tak akan buat lagi."

Itulah ucapan yang selalu dituturkan apabila ibunya marah.
Ibu memegang mulut anak, hatinya menangis. Bukan ini yang ibu mahu
dengar.

Sebaik sampai di hospital, anak dikejarkan ke bahagian
kecemasan. Ibu menunggu di luar, dia membuat panggilan kepada suami dan
mengurus segala prosedur yang patut. Dengan baju dipenuhi darah tanpa
merasa malu pada orang sekeliling yang melihatnya, dia menangis sekuat
hati, rasa sesal mengasak kuat segenap ruang hatinya.

"Ya Allah berilah aku peluang kedua untuk menjadi seorang ibu
yang baik, aku sedar akan kesalahanku ..."

"Ya Allah selamatkanlah anakku hari ini ..."

Doa tidak pernah putus dari bibirnya dengan permohonan
setulus-tulusnya kepada tuhan.

Setelah lama menunggu, tiba-tiba doktor keluar. Bebola
matanya merenung penuh pengharapan pada doktor.

"Puan, maafkan ... Kami telah cuba melakukan yang terbaik."
Patah bicara doktor satu-satu menyusun kalimah.

"Anak puan ... Telah meninggal dunia."

Hanya itu yang mampu dituturkan, walaupun selalu tetapi tetap
sukar untuk menjelaskannya kepada ibu ini.

Dunia terasa seperti pasir jerlus yang menyedut dengan deras
ke dalam, kepingan langit sekeping-sekeping menghempas ubun-ubun
kepalanya. Alangkah sakitnya hakikat ini. Dalam tangisan berderai, dia
meluru dan merangkul sekujur tubuh anaknya dengan mata tertutup rapat,
kesakitan telah tiada bersama nafasnya yang berangkat pergi buat
selama-lamanya.


"Anak ... Kamu tidak mendapat apa yang sepatutnya ibu berikan
di sepanjang perjalanan pendekmu ini ..."

Ibu mencium semahu-mahunya. Namun wajah itu hanya kaku,
dingin sekali.

Jenazahnya kemudian diuruskan sehingga selesai sempurna.
Malam itu apabila lampu tidur dimatikan dan kawasan kejiranan sunyi, ibu
keluar ke kawasan tong sampah di hadapan rumah. Dia menyelongkar sampah
semalam mencari koyakan kertas anaknya. Malam itu di ruang tamu rumahnya
penuh koyakan kertas yang ditaburkan.

Dengan nada lemah sekali bersama lelehan air mata hangat ibu
berkata, "Alangkah indah andainya ini yang ibu lihat pada setiap hari di
sepanjang hidup ini."

"Ibu rindu kepadamu ... Ibu rindu kepada nakalmu ... Ibu rindu
pada koyakan kertas ini, tetapi kenapa ibu buta tentangnya selama ini?"

Tangisan hanya saksi bisu dengan irama tersendiri, namun
hakikat yang terpaksa direngguk ialah semua itu tidak boleh diulang lagi.
Anak comel itu tidak akan pulang lagi ke rumah sampai bila-bila.

**********
Benar, sesetengah nikmat itu hanya datang sekali, kerana itu
nikmati dan syukurilah, bersyukurlah sentiasa.

Amat malang kerana kita selalu sedar dan menghargai sesuatu,
hanya selepas nikmat itu terlerai daripada genggaman.

Sunday, November 15, 2009

MUHASABAH UNTUK PEMUDA "Taubat Seorang Pejuang" – Ustaz Nasaruddin Tantawi


Masih terngiang – ngiang di telinga saya , perkataan yang pernah dipopularkan oleh al Imam Hassan al Hudhaibi . Perkataan ini sering diulang – ulang oleh naqib saya Syeikh Ahmad Laasyin ( beliau pernah dipenjara bersama Asy Syahid Syed Qutb Rhm ) , dulunya beliau adalah Imam Masjid Syahid di Tanta .

Saya lekatkan banner perkataan tersebut di dinding rumah saya sewaktu menginap di Syari’ al Hulwa berhadapan dengan Madrasah Jil Muslim lil Banat di Tanta satu masa dulu . Masih segar pastinya dalam ingatan ini bersama rakan – rakan seperjuangan yang sangat menghayati makna dan maksud perkataan tersebut.

Perkataannya ringkas tapi nyata ia cukup besar maknanya bagi diriku sebagai seorang pejuang . Ianya bagai satu energy yang cukup luar biasa bagi diri saya sewaktu meredah segala cabaran dan merempuh segala halangan untuk berjaya mencapai status seorang pejuang.

Juga masih dalam ingatan ini , sewaktu kami para nuqaba’ menjalani terapi muhasabah di satu subuh yang hening . Naqib saya masa tu Ust. Musthafa Saari dibantu Ust. Zulqarnain Hassan telah membuat dua garis . Satu garis permulaan dan satu lagi garis akhir . Jarak antara garis mula dengan garis akhir sekitar 10 kaki ( lebih kurang 20 tapak ) .

Kami lebih kurang 12 orang ( kalau tak salah ingatan saya ) berbaris digaris mula dengan arahan supaya memberi fokus kepada setiap tapak yang akan kami lakukan menuju ke garis akhir . Itu pun kalau setiap aktiviti dan amal Islami yang dibacakan oleh Naqib satu persatu dengan penuh tertib telah dilakukan oleh kami secara jujur dan benar .

Setiap amal dan aktiviti yang tidak kami lakukan , pastinya ia mematikan langkah kami . Ada 20 amal dan aktiviti yang dibacakan oleh Naqib dan memadai dengan 20 langkah untuk kami sampai ke garis akhir dengan satu amal yang dilaksana bersamaan satu langkah .

Ayat tema kepada terapi muhasabah ini adalah perkataan yang saya maksudkan tadi :
أقيموا دولة الإسلام في قلوبكم تقم على أرضكم
Tegakkanlah Negara Islam di dalam diri kamu nescaya ia akan tertegak di atas tanahair kamu.

Terapi Muhasabah yang Menginsafkan

Di pertengahan jalan menuju ke garis akhir , nyata waktu itu saya agak terkebelakang berbanding sahabat – sahabat yang lain seperti meluru laju kerana setiap amal yang disenaraikan oleh Naqib rupanya dilakukan oleh mereka dengan baik . Sementara saya gagal dalam banyak amal Islami yang sepatutnya menjadi kewajipan kepada kami para nuqaba’ melakukannya.

Ya, saya masih ingat bagaimana saya gagal untuk puasa isnin dan khamis malah saya juga gagal menginfaqkan sebahagian harta yang saya miliki pada minggu tersebut. Kegagalan demi kegagalan sudah pasti mematikan langkahan saya dan akhirnya saya mula menyedari bahawa kedudukan saya dengan garis akhir agak jauh .

Kedudukan ini tentu sahaja menyebabkan naqib saya (amir) tidak berpuas hati dengan prestasi saya selaku salah seorang dari para nuqaba’ harapannya.

Lalu saya disergah oleh Ust. Musthafa . ” Ust. Din ! anta tengok kedudukan anta sekarang , masih terlalu jauh untuk sampai ke garis akhir ! Anta tahu apa maksudnya ? Maksudnya anta gagal untuk layak sebagai seorang pejuang ! “

Saya cuba bertahan . Menahan gelora emosi yang mula diserang rasa bersalah kerana mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pejuang .

Ust Zulqarnain menambah : ” Ust. Din , kalau macam ni keadaan anta macam mana anta nak jadi pemimpin ? Memimpin Gerakan Islam tidak seperti memimpin persatuan kebajikan ! Kenapa minggu ini prestasi amal anta terlalu lemah ? anta lupa tanggungjawab ? anta bermain – main dengan perjuangan ini ? anta ingat nak jadi pejuang cukup setakat pandai pidato ? kemana perginya semua taujihat yang kami berikan kepada anta selama ini ? “

bertalu – talu persoalan diterjah kepada saya oleh Ust Zulqarnain . Perasaan saya makin sukar dikawal dan akhirnya dalam suasana yang penuh hening disubuh hari , saya menangis kesal . saya meraung penuh insaf .

Suasana agak emosional , saya hampir pengsan dalam esakan yang cukup memilukan , mengenang diri yang nyata tidak layak untuk menjadi seorang pejuang sedang saya selalu mendambakan status sebagai seorang pejuang , malah saya bangga memperkenalkan diri kepada sahabat – sahabat bahawa saya adalah seorang pejuang . Saya malu …

Saya ingat lagi , agak lama juga saya diselubungi rasa bersalah dan saya menangis dan terus menangis sehingga memaksa rakan – rakan anggota madrasah Nuqaba’ yang turut menyertai Terapi Muhasabah itu , memujuk dan menyabarkan saya .

Demikian secebis kenangan 14 tahun yang lalu sewaktu saya direkrut dan dikaderkan oleh abang – abang yang lebih senior dalam perjuangan ini . Sebahagian mereka kini menjadi pemimpin , memimpin Gerakan Islam di negeri masing – masing . Pun turut di akui , ada juga mereka yang dulunya mentarbiyah saya , kini mereka hilang dari peta rajah perjuangan di tanahair hari ini . Mungkin mereka berjuang di luar negara . Wallahua’alam .

Bukan Zaman Rekrut
Sekarang saya dan kita semua berada di medan berbanding sebelumnya kita bagaikan berada di kem . Ertinya kita bukan lagi berada di madrasah nuqaba’ dan tidak juga berada di dalam tamrin panjang ( mua’skar ) yang mana kita dibina , dilatih , dibentuk , dikader , ditegur , dimarah , dibimbing , dipimpin , diajar dan dinasihat oleh pimpinan .

Hari ini kita bergerak meredah cabaran dan menyerap tekanan dengan tahap upaya sendiri berbekalkan skima pentarbiyah yang telah diambil sejak sekian lama .

Cukup lama diri ini tidak ditegur , dididik , dimarah , dibimbing , dinasihat , diajar dan dikader seperti dulu . Logiknya , kalau dulu pun ( dalam suasana pengkaderan ) saya masih gagal dalam banyak aktiviti amal islami , bagaimana saya boleh berjaya dalam suasana begitu lama saya tidak dibimbing dan ditegur ?

Taubat
Sukar sungguh untuk layak jadi pejuang yang tangguh dan tahan uji . Mungkin saya boleh berjaya dalam satu bahagian tetapi gagal dalam banyak bahagian yang lain . Berhadapan pula dengan tekanan dan cabaran dari luar serta tidak kurang karenah dalaman yang cukup menguji kesabaran .

Antara yang membuat diri ini sering gagal ialah keupayaan dan stamina diri yang masih lemah dalam menangkis serangan kemahuan ( nafsu ) yang datang dari diri sendiri . Ianya sering memerangkap dan menjadikan diri ini leka dan lalai dari tanggungjawab dan amanah sebagai seorang pejuang dan pemimpin .

Banyak sungguh dosa diri ini ! Ya Allah , Ampunkan daku ! Syaithan tentu saja gembira dengan perkembangan ini . Ya Allah ! Janganlah Kau biarkan diriku yang lemah ini terkapai – kapai dihanyutkan arus leka dan lalai dibuai nafsu .

Ya Rabbi Ya Allah ! Kurniakan hidayahMu buat diri ini agar aku mampu thabat di atas landasan perjuangan suci ini . Biarpun aku tidak layak menjadi pemimpin tetapi jangan sekali – kali kau biarkan aku tidak layak untuk menjadi pejuang agamaMU ya Allah !

Friday, November 13, 2009

Duhai Anakku

ANAK SOLEH IDAMAN IBUBAPA

Sesungguhnya anak-anak merupakan anugerah dari Allah s.w.t. yang cukup berharga kepada Ibubapa. Mereka juga merupakan amanah daripada Allah untuk dijaga dan dipelihara dengan sempurna dan memastikan keselamatan di dunia dan akhirat. Amanah ini akan ditanya oleh Allah diakhirat nanti, apakah kita telah menunaikannya dengan sebaik-baiknya ataupun kita mengkhianatinya.

Justeru itu, Islam tampil sebagai model terbaik memberi bimbingan dan panduan kepada manusia dalam melahirkan sebuah keluarga bahagia dan dirahmati serta diredhai Allah s.w.t.

Kita semua sebagai ibu bapa atau yang bakal menjadi bapa sudah pasti berharap supaya dikurniakan anak-anak yang baik dan soleh yang bakal menjadi penyejuk mata dan penawar hati. Anak-anak bukan sahaja dapat membantu kita sewaktu di dunia bahkan diharap dapat membantu kita sampai ke alam akhirat.

Sabda Rasulullah s.a.w :

” اِذَا مَاتَ ابْنِ آدَمَ اِنْقَطَعَ عَمَلُهُ اِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ :

صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْلَهُ “.
Maksudnya :
“ Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu : Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya“.


Oleh itu, sekiranya kita berhasrat dan mengidamkan untuk mendapat zuriat yang terbaik dan soleh, maka kita mestilah memberikan pendidikan yang sempurna kepada mereka yang berkaitan dengan dengan fardhu ain dan fardhu kifayah.

Justeru itu, proses mendidik anak agar benar-benar menjadi anak yang soleh merupakan suatu tugas dan tanggungjawab yang besar serta mencabar kepada setiap ibu bapa, terutamanya dalam dunia hari ini yang serba canggih sedikit sebanyak telah mempengaruhi corak kehidupan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak. Maka dalam perkara ini, beberapa faktor penting perlu diberi perhatian oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak menjadi insan yang soleh dan terbaik serta mampu memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Diantara perkara-perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa dalam proses melahirkan zuriat yang soleh ialah :

Pertama : Sentiasa Berdoa Kepada Allah s.w.t.
Keinginan untuk memiliki zuriat yang soleh dan cemerlang hendaklah dengan cara berdoa kepada Allah s.w.t. kerana amalan ini merupakan amalan yang dilakukan oleh para nabi dan rasul. Firman Allah dalam surah Ali – Imran ayat: 38


Yang bermaksud :
” Wahai tuhan kami kurniakanlah kepadaku dari sisimu zuriat keturunan yang baik, seseungguhnya engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan. “

Dalam ayat ini menjelaskan kepada kita para nabi dan rasul mengutamakan zuriat yang soleh dalam kehidupan mereka, walaupun zuriat itu belum dilahirkan lagi mereka berdoa kepada Allah s.w.t. agar dikurniakan zuriat keturunan yang baik. Ini memberi gambaran dan contoh kepada manusia untuk diamalkan. Di samping kita berdoa hendaklah kita memberi pelajaran yang sempurna dari segi fardhu Ain dan Fardhu Kifayah semoga mereka dapat membangunkan diri, masyarakat dan negara.

Kedua : Hendaklah Menanam Akidah Didalam Diri Anak-Anak
Akidah merupakan asas yang perlu diberi perhatian dan keutamaan, kerana akidah yang mantap sahaja mampu menjamin kebahagian dan kecemerlangan hidup manusia di dunia dan di akhirat. Selain itu, anak-anak yang mempunyai pegangan akidah yang mantap tidak akan mudah untuk menyeleweng atau diselewengkan. Lebih-lebih lagi dapat melahirkan insan yang sentiasa dapat menjaga iman mereka serta menjauhi perkara-perkara syirik yang boleh menyesatkan mereka.

Ketiga : Hendaklah Diberi Penekanan Terhadap Tuntutan Syariah Khususnya Dari Sudat Ibadah
Penekanan dari sudut ibadah yang sempurna melambangkan sifat kepatuhan dan ketaatan kepada Allah. Selain itu, sebagai tanda penyempurnaan jalinan hubungan dengan Allah s.w.t sepanjang masa dengan sentaisa menyerahkan segala jiwa dan raganya terhadap setiap suruhan dan meninggalkan segala larangannya pada setiap masa.

Selain itu, dengan melakukan ibadah kepada Allah dapat menyedarkan anak-anak tentang sifat-sifat manusia sebagai hamba disisi Allah s.w.t. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Anam ayat 162 :


Yang bermaksud : “ Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam “.

Keempat : Hendaklah Diberi Penekanan Dari Sudut Akhlak
Memiliki akhlak terpuji merupakan lambang kecemerlangan dan keindahan terhadap keperibadian seorang muslim sejati. Dengan memiliki akhlak yang terpuji menyebabkan seseorang itu dihormati dalam sesebuah masyarakat berbanding dengan orang yang memiliki akhlak yang tercela akan dibenci dan dikeji oleh masyarakat. Kerana itulah, junjungan besar nabi Muhammmad s.a.w. diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Selain itu, dengan memiliki akhlak yang mulia merupakan amalan yang paling berat dalam timbangan dihari akhirat berbanding dengan akhlak tercela yang akan melambatkan proses hisab dihadapan Allah s.w.t. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. :

مَا مِنْ شَىْءٍ أَثْقَلُ فِىْ مِيْزَانِ الْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ حُسْنِ الْخُلُقِ

Maksudnya :
“Tidak ada sesuatu yang lebih berat diatas neraca timbangan seseorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang mulia “.
Kelima : Memastikan Makanan Anak-Anak Dari Sumber Yang Halal
Setiap ibu bapa perlu memastikan setiap makanan yang diberikan kepada anak-anak merupakan makanan dari sumber yang halal serta menjauhi dari sumber-sumber yang subhah, apatah lagi dari sumber yang haram seperti rasuah, riba, penipuan dan sebagainya.

Kerana makanan yang bersumberkan dari rezeki yang halal bukan sahaja membawa keberkatan tetapi sebenarnya dapat melahirkan zuriat yang pintar dan sehat. Dan akhirnya mendorong seseorang kearah melakukan kebaikan di dunia dan mendapat rahmat Allah di akhirat. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 168 :


Yang bermaksud :
” Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu “.

Marilah sama-sama kita memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak kita, demi melihat generasi yang terbaik dimasa hadapan. Korbanlah sedikit masa dan harta untuk mereka, berikan kasih sayang dan tunjukkanlah contoh yang terbaik kepada mereka serta mengambil tahu hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan anak-anak seperti dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi, jam berapa mereka keluar rumah dan sebagainya.

Ini semua membuktikan kita telah melaksanakan amanah Allah s.w.t. terhadap anak-anak dengan baik dan sempurna. Kelima-lima perkara yang telah disebut tadi amat penting diberi perhatian untuk membina insane yang sempurna dan merupakan modal insane yang akan memainkan peranan untuk membangun masyarakat dan Negara yang maju mengikut acuan kita sendiri.