Wednesday, March 10, 2010

Oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Pas

Selama ini kita tidak berfikir untuk menyebar Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebar Islam sesama orang Islam. Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam. Sebenarnya, perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.

Sebaliknya, PAS ada alasan dan sebab-musababnya kenapa menolak perpaduan dengan Umno. Antaranya,

1) Perjuangan Umno sebenarnya amat dhalalah (sesat sesesatnya), kerana menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama. Kesan menolak Islam itulah, banyak pihak tidak faham Islam, termasuk rakan kita yang bukan Islam.

2) Tindak tanduk Umno jelas mengkhianati perjuangan Islam, khususnya terhadap PAS. Berpandukan pengalaman lepas, PAS pernah membuat persetujuan masuk BN, maka ada yang menyokong dan menentang, sehingga ada kecelaruan dan munculnya golongan yang menentang kemasukan PAS dalam BN, seperti mana munculnya Bebas Bersatu sebagai serpihan PAS. Akibatnya lagi muncul pula Berjasa ketika PAS diambang kekalahan selepas diganyang Umno melalui peristiwa darurat 1977. Semuanya adalah nilai dan kesan pengorbanan besar PAS atas semata-mata ingin bersama Umno. Namun, pengorbanan itu tidak dihargai oleh Umno. Malah, PAS telah ditendang keluar. Ia sungguh perit bagi PAS untuk berbaik semula dengan Umno atau masuk balik BN.

3) Oleh sebab itu, PAS rela dan menyatakan komitmen tinggi bersama mengukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat.

4) Begitu pula, semenjak pilihan raya umum 2008 lalu sampai ke hari ini, Umno menuduh PAS sebagai boneka DAP. Sedangkan apa yang berlaku di Pulau Pinang sebelum ini, Umno yang mendapat kuasa majoriti. Pun begitu, pemimpin parti Gerakan yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Jelas, dalam keadaan itu, meletakkan kedudukan Umno sebagai parti yang menjadi kuda tunggangan (boneka) parti Gerakan. Di samping tidak kurang pula, ada sejumlah kerusi yang sepatutnya Umno bertanding (di kawasan majoriti Melayu), tetapi secara tidak beradab telah menyerahkan kepada pemimpin Gerakan, MCA dan MIC bertanding dengan alasan, kononnya ia simbol permuafakatan kuasa dalam BN.

5) Sekarang PAS dilihat berjaya bersama Pakatan Rakyat. Ia suatu perkembangan baik, memandangkan dulu PAS sendiri rela tidak berkawan dengan DAP, kerana ada pemimpinnya yang menyerang Islam. Sebaliknya sekarang, para pemimpin DAP termasuk Karpal Singh tidak lagi menyerang Islam. Malah berlaku perkembangan yang agak baik apabila sudah ada kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (termasuk DAP) sudah mula pandai baca Al-Quran dan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP di Pulau Pinang sudah berani berikrar mengambil contoh gaya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Sedangkan Gerakan, MCA dan MIC begitu lama (sejak merdeka) bersama Umno dalam BN, mereka itu tetap tidak faham-faham agama Islam.

Jadi, bersempena dengan dua tahun usia Pakatan Rakyat ini, sukacita kiranya para pemimpin dan pendukung perjuangan Pakatan Rakyat dapat menguatkan lagi tekad ke arah membina perpaduan dan persefahaman serta keyakinan agar terus utuh di atas prinsip keadilan untuk semua rakyat. Ini kerana prinsip tersebut adalah sejajar dengan ajaran Islam yang mengutamakan keadilan untuk semua kaum di negara.

Sehubungan dengan itu, demi mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat dan bagi mempersiapkan diri mendepani banyak lagi cabaran mendatang, maka pihak PAS sewajarnya mengadakan satu seminar atas isu ”hak-hak bukan Islam di dalam pemerintahan berteraskan Islam” bersempena Muktamar PAS akan datang.

Ada baiknya seminar itu dapat menjadikan tulisan As-Syeikh Dr. Yusoff al-Qaradhawi, bertajuk ”Ghairul muslimin fil mujtama’ul-Islami” sebagai bahan rujukan penting untuk perbincangan. Mungkin dengan penganugerahan tokoh Maal Hijrah 1431 oleh kerajaan Malaysia kepada as-Syeikh Dr. Yusoff adalah suatu titik persetujuan awal kita bagi menerima idea-idea baik daripada beliau untuk difahami dan diamalkan dalam kerajaan. Sekaligus ia boleh diajak bersama para pemimpin politik bukan Islam menyertai seminar tersebut.

Sebenarnya, melalui seminar sedemikian, PAS boleh melakukan pendekatan yang baik dalam menghubungkan kefahaman antara pemimpin Islam dengan bukan Islam. Di samping PAS tidak seharusnya lupa terhadap jasa dan pengorbanan para ulama’ dan pemimpin Islam terdahulu. Dan sesungguhnya, pemimpin PAS sekarang begitu terhutang budi kepada para ulama’ terdahulu, kerana berkat hasil usaha mereka jugalah, sekarang ’orang Kelantan’ sudah berada di mana-mana sahaja dalam pelbagai sektor pembangunan Negeri dan Negara.

Dan, apa yang telah dilaksanakan di Kelantan hari ini adalah suatu simbol kejayaan politik Pakatan Rakyat. Maka, PAS dan kerajaan Kelantan hari ini sudah membuat banyak penambahbaikan kepada kedudukan dan kefahaman Islam itu sendiri. Ia turut merangkumi kehendak politik rakyat pelbagai kaum. Semuga akan datang, akan lahir kalangan pemimpin Islam yang mewakili pelbagai kaum – kalangan orang Cina atau India – layak menyambung sejarah Islam. Ini kerana sejarah awal Islam membuktikan orang Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam daripada orang Melayu. Ia bermakna, orang Cina dan India layak dan mustahak turut sama menyebarkan Islam di negara ini.

Apa yang utama, penglibatan semua kaum dalam politik dan dakwah akan menyuburkan lagi nikmat persaudaraan di sebalik Allah Subhanahu wa taala jadikan manusia itu pelbagai kaum. Firman-Nya,

Maksudnya, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).
[al-Hujuraat, 49: 13]

Semuga amalan dan kebajikan yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa taala. Panjang usia Pakatan Rakyat, panjanglah keadilan untuk semua rakyat.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Mursyidul Am PAS,
merangkap Menteri Besar Kelantan.
22 RabiulAwwal 1431 bersamaan 8 Mac 2010.

Monday, March 8, 2010

Tuan Ibrahim yang gopoh atau blogger yang melatah?

Oleh: WarkahDaily

"Sebenarnya mungkin silap faham dalam laporan tersebut. PAS mengamalkan dasar terbuka dalam keahlian. Prinsip kita, sesiapa yang nak jadi ahli, kita memang mengalukan keahlian yang ramai dalam parti tapi bukan bermaksud kita menerima Zulkifli (Noordin)."

"Menerima Zulkifli Noordin dalam PAS bermaksud kita menyakiti hati rakan kita dalam Pakatan Rakyat. Dia dipecat atas masalah disiplin, jadi jika kita menerima (beliau) bermaksud kita menerima seseorang yang boleh merosakkan imej parti dan hubungan kita dalam Pakatan.``

WarkahDaily melihat penjelasan Dato` Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) ke atas laporan portal berita Mstar online semalam yang bertajuk 'PAS sedia terima Zulkifli' sebagai tindakan bijak dan tepat PAS sebagai parti yang terbuka dan berprinsip.

Pemimpin yang gila mikrofon atau blogger yang gila melatah?

Sebenarnya, bukan semua dari kalangan kita dapat memahami apa yang diucapkan pemimpin kita. Semuanya hanya mengambil maksud tersurat sahaja bukan tersirat. Apa yang lebih teruk lagi, bukan hanya tidak memahami apa maksud sebenar pemimpin, tetapi terus mengecam pemimpin berkenaan tanpa bertanya kepada tuan punya badan, apakah maksudnya.

Di sini dapatlah kita lihat, siapakah yang gopoh dan gelojoh dalam menganalisis sesuatu ucapan pemimpin. Kenapa kita hanya nampak buruk sahaja dan dibuta daripada kebaikan?

Kita kata pemimpin gopoh dan cepat melatah dengan pertanya media, gila mikrofon dan sebagainya, tetapi kita pula bagaimana? apakah kita termasuk dalam golongan orang yang gila melatah dengan isu dan berita sensasi tanpa usul periksa dari mana sumbernya, apakah ulasan berita itu tepat dengan apa yang diberitahu pemimpin itu.

Sekarang, dengan penerangan Dato` Tuan Ibrahim telah merubah persepsi buruk yang sengaja dicipta oleh manusia hanya pandai komen tanpa ada idea membina yang boleh dikongsikan bersama jika merasakan ideanya itu bernas dan hebat.

Kerja mereka hanya hentam sampai lumat tanpa menghadam sampai lumat kata-kata pemimpin. Bila menghentam, maka kita dijulang dengan keberanian menegur pemimpin kononnya. Bukan tidak boleh menegur pemimpin tetapi perlulah kepada bahasa yang beradab dan penuh dengan hikmah.

Bagi WarkahDaily, selepas ada sesuatu kemusykilan sebaran media massa, tambah lagi daripada media yang kita boikot, perlulah kita menunggu keterangan pemimpin kita dahulu apakah keabsahan berita itu baharulah mula mengomel jika berkeinginan. Jangan pula dapat berita kita terus hentam. Kata pemimpin gila mikrofon, habis kita gila melatah.

Penjernihan daripada pemimpin pasti akan tiba jika ada kerungsingan dari kalangan ahli bawahan. Jangan terus melatah tak tentu pasal kalau ya pun kita sayangkan parti dan jamaah. Kita sayangkan jamaah, pemimpin pula lebihlah lagi sayangkan jamaah.

Maka hari ini, perjenihan itu telah kunjung tiba.

Bagi Dato` Tuan Ibrahim, PAS hanya menunjukkan keterbukaan PAS kepada semua tidak kira siapa.

Sedutan daripada harakahdaily, PAS memang mengamalkan dasar terbuka dalam keahlian parti namun tidak bermaksud akan menerima Zulkifli Nordin jika beliau membuat permohonan untuk menjadi ahli, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sebaliknya Tuan Ibrahim (gambar) berkata, jika PAS menerima bulat-bulat bekas anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, samalah seperti melukakan hati kedua-dua rakan dalam Pakatan Rakyat, PKR dan DAP.

"Sebenarnya mungkin silap faham dalam laporan tersebut. PAS mengamalkan dasar terbuka dalam keahlian. Prinsip kita, sesiapa yang nak jadi ahli, kita memang mengalukan keahlian yang ramai dalam parti tapi bukan bermaksud kita menerima Zulkifli (Noordin).

"Menerima Zulkifli Noordin dalam PAS bermaksud kita menyakiti hati rakan kita dalam Pakatan Rakyat. Dia dipecat atas masalah disiplin, jadi jika kita menerima (beliau) bermaksud kita menerima seseorang yang boleh merosakkan imej parti dan hubungan kita dalam Pakatan.

"PAS sebagai parti komponen dalam Pakatan akan memelihara setiakawan dan perasan rakan dalam Pakatan," katanya ketika menghubungi Harakahdaily pagi ini.

Beliau berkata demikian sebagai membuat pembetulan ke atas laporan portal berita Mstar online semalam yang bertajuk 'PAS sedia terima Zulkifli'.

Tuan Ibrahim dipetik sebagai berkata, PAS sedia mempertimbangkan penyertaan Zulkifli ke dalam parti itu dan sentiasa mengamalkan dasar terbuka kepada sesiapa sahaja untuk menyertai kami termasuk Zulkifli.

Beliau menafikan perkara itu sebaliknya menjelaskan, beliau membuat kenyataan itu dalam konteks prosedur umum parti iaitu jika sesiapa membuat permohonan untuk menjadi ahli, ianya akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat untuk dipertimbangkan.

"Dalam konteks kenyataan umum berkaitan keahlian, prosedur parti (adalah) sesiapa yang mohon (untuk) menjadi ahli kita akan bawa ke mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat untuk dinilai dan dipertimbangkan.

"Itu prinsip umum dalam parti. Bukan saya buat kenyataan PAS akan terima Zulkifli," jelasnya.

Tegas beliau juga, PAS lebih rela kehilangan satu kerusi Pakatan rakyat di parlimen daripada menerima individu yang sering menimbulkan masalah dalam Pakatan rakyat.

"Walaupun mungkin pemecatan Zulkifli ini menyebabkan kita hilang satu kerusi parlimen, tapi kita lebih rela hilang kerusi parlimen daripada merosakkan hubungan dalam Pakatan yang akan menjejaskan sokongan rakyat," tegasnya.

Beliau turut menyeru agar semua ahli Pakatan Rakyat bertanggungjawab dalam menjaga nama baik parti dan tidak menimbulkan masalah yang boleh menjejaskan pandangan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

"Dalam Pakatan Rakyat sudah dibentuk satu jawatankuasa tatatertib yang dipengerusikan R. Sivarasa dan saya salah seorang ahli. Saya menyeru semua ahli Pakatan supaya isu-isu yang melibatkan imej dan nama baik Pakatan dan pandangan baik masyarakat terhadap kita sekarang dapat ditingkatkan supaya kita mampu membina keyakinan rakyat terhadap kita dalam pilihanraya ke 13 nanti," katanya.

Ujarnya, jika Zulkifli memohon untuk menjadi ahli PAS, parti itu harus terlebih dahulu melihat kepada latar belakang Zulkifli.

"Kalau Zulkifli hantar borang permohonan, kita akan bawa ke mesyurat tapi saya yakin pada tahap ini, PAS tidak akan menerima beliau.

"Beliau pernah memegang jawatan dalam PAS dan kemudian keluar PAS, masuk PKR. Dan sekarang buat masalah dalam PKR pula. Jadi saya fikir PAS harus melihat latar belakang beliau ini," katanya.

Bagi WarkahDaily, kelicikan politik tidak semestinya berterus terang dalam tindakan. Dalam masa yang sama kita harus tonjolkan keterbukaan PAS dan menunjukkan cara dakwah PAS kepada semua agar tindakan kelihatan bijak.

Tindakan Dato` Tuan Ibrahim mempelawa Zulkifli Noordin itu tidak semestinya terus menerima dia masuk PAS atau mengkhianati musuh tetapi kepandaian Dato` Tuan Ibrahim menjelaskan akan keterbukaan dalam semua tindakan, agar nanti musuh tidak menuduh kita berfikiran tertutup dan menutup pintu kepada musuh yang insaf untuk bersama dengan PAS.

Samakah Zulkifli Noordin yang insaf dengan pemimpin Umno yang insaf yang cuba mendekati PAS kerana keterbukaan PAS? Apakah kita terus menolak mereka ini dengan mentah-mentah? Tidak mustahil perkara ini boleh berlaku. Inilah namanya dakwah.

Malahan Tuan Ibrahim juga sudah menjelaskan, walaupun PAS mengamalkan dasar terbuka bagi sesiapa sahaja untuk menyertai parti itu, namun berharap penyertaan berkenaan mampu mengukuhkan PAS dan tidak membebankan parti. Bukan ke berlapik ungkapan itu? Boleh terima tapi bersyarat. Bukan terus menolak mentah-mentah dengan buta tuli.